Tuesday, June 2, 2009

PERKARA-PERKARA YANG MEROSAKKAN IMAN


1. Syirik kepada Allah.

Syirik bererti menyembah selain Allah. Sembahan tersebut adalah dalam bentuk yang nyata atau yang tidak nyata seperti penyembahan patung, wang ringgit, harta benda, manusia, syaitan dan juga hawa nafsu.

Firman Allah s.w.t.;


Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan dengan kezaliman mereka itulah yang mendapat ke amanan dan mereka itu mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. ( s. al Anam 82)


2. Tidak ikhlas.

Melakukan amal saleh tanpa keikhlasan kepada Allah boleh menyebabkan keimanan menjadi lemah dan akhirnya hilang. Allah tidak menerima amal yang tidak ikhlas atau yang tidak mencari keredhaanNya.

Firman Allah s.w.t.;


Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar. ( s. al Bayyinah 5)


Sabda Nabi s.a.w.;

Allah s.w.t. tidak melihat kepada tubuh kalian dan tidak pula kepada bentuk kalian. Allah s.w.t. hanya melihat kepada hati dan perbuatan kalian. (HR Muslim)

3. Ragu-ragu (tidak yakin).

Tidak yakin dengan al Qur'an atau pertolongan Allah, atau pemeliharaan Allah atau kebaikkan-kebaikan yang Allah akan kurniakan kepada orang beriman yang beramal-saleh akan menyebabkan iman menjadi lemah dan akhirnya hilang.

Firman Allah s.w.t.;


Dan di antara manusia itu ada orang-orang yang menyembah Allah dengan berada di pinggir (tidak dengan penuh keyakinan atau ragu-ragu) hingga jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana berbaliklah ia ke belakang, rugilah ia dunia dan akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. (s. al Haj 11)


Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir) tidak masuk kepada gulungan ini (orang-orang beriman) dan tidak pula kepada golongan itu (orang kafir), maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan untuk memeberi petunjuk baginya. (s. an Nisa'143)

4. Mencampuri orang zalim.

Mencampuri orang zalim dengan niat menyetujui apa yang mereka lakukan atau mengikuti dengan rela hati apa yang mereka lakukan akan merosakkan keimanan yang telah Allah kurniakan.

Firman Allah s.w.t.;


Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang akan menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (s. Huud 113)

5. Kecewa dan putus asa.

Sifat kecewa atau putus asa bererti tidak yakin dan tidak redha dengan ketentuan Allah. Sebaliknya kegagalan yang dialami hendaklah dihadapi dengan penuh kesabaran, keredhaan serta banyak memohon keampunan dariNya.

Firman Allah s.w.t;


Dan jika Kami rasakan kepada manusia suatu rahmat (nikmat) dari Kami, kemudian rahmat itu kami cabut daripadanya, pasti dia menjadi putus asa lagi tidak berterima kasih. (s. al Huud 9)

6. Mentaati orang kafir, fasiq dan munafiq.

Orang beriman dilarang dari mentaati orang kafir, fasiq atau munafiq pada perkara-perkara yang yang jelas dilarang oleh Allah seperti yang dinyatakan di dalam al Qur'an dan al Hadis. Di antaranya ialah memilih mereka menjadi pemimpin untuk masyarakat yang beragama Islam.

Firman Allah s.w.t.;


Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi. ( s. Ali Imran 149)


Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung. (s. Al Ahzab 48)

7. Mengikuti langkah-langkah syaitan.

Mengekalkan akhlak yang tercela seperti bersifat sombong, angkuh, bakhil, tidak ikhlas, tidak amanah serta tidak berusaha untuk membaiki diri (membuang sifat-sifat tersebut) adalah mengikuti langkah-langkah syaitan. Syaitanlah yang akan menjadi pembimbing dan penentu arah kehidupannya sehingga akhirnya keimanannya akan musnah.

Firman Allah s.w.t.;


Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mngerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar... ( s. An Nuur 21)

8. Mengambil selain Allah dan Rasul.

Apabila orang yang beriman mengenepikan al Qur'an dan al Hadis Nabi Muhammad s.a.w. secara sengaja dalam menjatuhkan hukuman atau keputusan atau tindakannya bererti dia telah mendurhakai Allah dan RasulNya.

Firman Allah s.w.t.;


Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada baginya pilihan yang lain tentang urusan merekaa. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata. (s. al Ahzab 36)

9. Meninggalkan jihad.

Jihad bererti berusaha untuk meninggikan Kalimah Allah di atas muka bumi ini dalam bentuk yang begitu luas. Di antaranya ialah berdakwah tentang keimanan dan Islam terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Meninggalkan jihad tersebut bererti kita tidak cintakan Allah dan rasulNya.

Firman Allah s.w.t.;


Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakn, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. ( s. at Taubah 24)

10. Khianat.

Berlaku khianat bererti kita mendedahkan rahsia kita kepada musuh kita, atau meninggalkan amanah yang telah diserahkan kepada kita dengan sengaja.

Firman Allah s.w.t.;


Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasulnya, dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui… ( s. al Anfal 27-28)

1 comment:

  1. salam mulia..
    kalau diizinkan ingin bertanya,apa kaitan iman dan ilmu? ramai orang bersangka beriman sebenar-benar yang beriman bagaimana?

    ReplyDelete

IMAN (BAHAGIAN 1)


1. Iman bererti membenarkan atau percaya.

Iman dari segi agama bererti membenarkan dengan hati, berikrar dengan lisan dan beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t. yang dibawa oleh utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda;

Iman itu bukan cita-cita dan bukan juga angan-angan, tetapi (iman) ialah rasa yang di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan.

Oleh itu iman bukanlah sesuatu yang diperkatakan di lidah (dakwa diri beriman) tetapi iman ialah perasaan yang mantap di hati dan seterusnya dirasai oleh seluruh anggota badan (sehingga melahirkan perbuatan yang baik) berlandaskan al Qur'an dan as Sunnah..


2. Merujuk ayat al Qur'an (Surah al Anfal, ayat 2).

Orang yang mengakui beriman dengan Allah s.w.t. pasti ada bukti atau tanda yang hany dirinya mengetahui. Tanda-tanda tersebut ialah;

a. apabila disebut nama Allah akan berasa gentar (atau lazat atau tenang ) hatinya sehingga kadang-kadang menitiskan air mata.
b. apabila dibacakan ayat-ayat Allah atau diperlihatkan ( dizahirkan) tanda-tanda kebesaran Allah atau ancaman atau azab Allah pasti keimanannya bertambah.
c. apabila melakukan satu kerja atau usaha yang baik kemudiannya berhadapan dengan kesusahan,kepayahan atau fitnah, maka dia akan bertawakkal kepada Allah.



3. Keimanan adalah hak Allah s.w.t..

Keimanan adalah anugerah Allah kepada sesiapa sahaja dari kalangan hamba-hambanya. Allah berkuasa untuk mengurniakan keimanan yang sebenar itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Firman Allah s.w.t dalam surah al Fath , ayat 4;

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka ( yang telah ada). Dan kepunyaan Allahlah tentera langit dan Bumi dan adalah Maha Mengetahui lagi maha Bijaksana.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasadmu juga tidak rupa parasmu, tetapi Allah melihat hatimu.

IMAN (BAHAGIAN 2)


Allah s.w.t. membimbing manusia yang mahu beriman dengan keimanan yang sebenar melalui utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.. Perkara-perkara yang perlu dimiliki seseorang untuk mendapatkan keimanan itu ialah;

1. Ikhlas dalam peribadatan kepada Allah s.w.t..


Firman Allah s.w.t.;


i. Dan (aku telah diperintahkan) "Hadapkanlah mukamu kepada agama yang tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk termasuk orang-orang yang musyrik”. ( Surah Yunus, ayat 12)


ii. Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kerananya. (Surah al Bayyinah, ayat 5)


Dalam mengerjakan ibadat yang difardukan seperti solat, puasa,haji dan zakat, semuanya hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah (bukan kerana yang lain). Dalam melakukan amal salih seperti bersedekah, bekerja atau sebagainya, juga hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Ikhlas bererti melakukan ibadah hanya untuk mencari keredhaan Allah, dan bukan kerana mencari nama, pangkat, kedudukan, sanjungan atau penghormatan.

2. Bersifat pemurah (tidak bakhil).


Firman Allah s.w.t.;


Kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan kebaikan, sebelum kamu menafkahkan apa yang kamu sukai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahui.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;


Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, dan barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya, dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, maka bersedekahlah dengan tenaganya.

3. Merendah diri (tidak menyombongkan diri atau angkuh).


Firman Allah s.w.t.;


Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati, dan apabila orang-orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandungi keselamatan. ( Surah al Furqan, ayat 63)


Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;


Barangsiapa yang merendahkan diri, Allah akan menyambutnya dan barangsiapa yang sombong maka Allah akan meremehkan dan merendahkan.

4. Berkata benar.


Firman Allah s.w.t.;


Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar. ( Surah at Taubah, ayat 119)


Sabda Nabi Muhammad s.a.w.;


Hendaklah kamu bersifat benar, kerana sifat benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan membawa ke syurga. Dan akan tetaplah ia bersifat benar dan sentiasa mencari sifat benar sehingga ditulis oleh Allah sebagai seorang yang sangat benar iaitu siddiq.

Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang memiliki empat sifat utama ini akan mendapat keutamaan di sisi Allah untuk dikurniakan keimanan yang sebenarnya. InsyaAllah.